25 March 2017

Tips Elak Skandal di Pejabat

Assalamualaikum...

Okey saya nak share satu artikel menarik yang saya baca dari majalah Mingguan Wanita. Isu skandal di pejabat ni bukan setakat dalam drama kat tv je tau....kat luar pun biasa berlaku hal-hal macam ni. Jom baca!

Saban hari bertemu, bertentang mata, berbicara, dan bergurau senda tanpa disedari berputik rasa cinta. Biarpun sedar akan status diri sebagai isteri atau suami orang namun panahan asmara kadangkala menyebabkan iman di dada menipis hingga akhirnya terjebak dalam kecurangan dengan rakan sekerja.

Skandal di pejabat ini memang selalu didengar malah ada rumah tangga yang berantakan dan suami isteri berpisah kerananya. Persahabatan dengan rakan sekerja memang tidak boleh dielak namun bagi yang telah berumah tangga perhubungan ini harus tidak melampaui batas agar tiada hati yang terguris.

Tapi ada juga yang memang menjaga batasan pergaulan namun diri tetap jadi tumpuan dan dikaitkan dengan skandal. Justeru bagi mengelakkan diri terlibat dalam masalah hubungan seperti ini ada baiknya suami atau isteri di luar sana yang bekerja di pejabat mengambil langkah berikut:

1. Bersikap Tegas

Bersikap tegas lebih-lebih lagi kepada diri sendiri, sebabnya di sinilah segala-galanya bermula. Cinta memang boleh datang bila-bila masa dan pada siapa sahaja tapi diri sendirilah yang harus teguh pendirian dan menolaknya. Mungkin tidak mengapa bagi yang masih bujang, namun buat yang berumah tangga bibit-bibit cinta daripada rakan sekerja sangat tidak wajar dilayan. Tetaplah pada pendirian katakan 'tidak' pada cinta yang datang meskipun ia daripada majikan anda sendiri.


2. Jangan Beri Respons

Ibarat kata bertepuk sebelah tangan takkan menjadi. Sekiranya ada rakan sekerja berlawanan jenis berusaha mendekati atau memikat hati anda, jangan beri respons. Begitu juga dari aspek komunikasi, elakkan berbicara hanya anda berdua. Jika boleh jangan buka ruang untuk berbual apatah lagi berkaitan dengan hal cinta. Jangan juga melayan panggilan telefon, SMS, 'chatting' di internet, dan sebagainya. Perkara kecil sebegini boleh membuka ruang kepada hubungan sulit. 


3. Hati-hati Luahkan Perasaan

Seringkali skandal satu pejabat ini berlaku kerana seseorang itu silap tempat untuk meluahkan perasaan. Tertekan dengan masalah rumah tangga, ada yang menjadikan rakan sekerja lelaki sebagai tempat untuk meluahkan rasa hatinya.

Melihat rakan berdepan masalah, selalunya mereka sedia mendengarnya. Di sinilah sebenarnya situasi berbahaya. Masalah demi masalah yang diluahkan akhirnya akan menimbulkan rasa simpati dan dekat. Tidak mustahil ia kemudian akan diikuti dengan keintiman yang tidak dapat dipisahkan. Oleh itu elakkan dari meluahkan masalah pada orang yang salah.


4. Jangan Layan Panggilan

Biarpun anda berusaha mengelak dari terjebak dengan skandal tapi ada juga yang tetap diganggu oleh rakan sekerja yang ingin mendekati. Tidak cukup dengan cubaan di pejabat, dia akan menghubungi pula selepas habis waktu bekerja. 

Ini cara untuk menghindari rakan sebegini. Jika anda kerap menerima panggilan daripadanya, maka anda boleh menghubunginya kembali. Tapi jangan menghubungi telefon bimbitnya, sebaliknya hubungi telefon rumah atau pasangannya. Jika perlu hubunginya ketika dia berada bersama pasangannya. Perkara sebegini pasti tidak menyenangkan dirinya dan sedikit sebanyak memberi pengajaran kepadanya. 


5. Lebih Berdikari

Sikap anda sendiri mungkin menjadi penyebab anda terlibat dengan hubungan sulit dengan rakan sekerja di pejabat. Apa tidaknya anda selalu meminta rakan lelaki contohnya mengambil dan menghantar anda pulang dari kerja, anda juga suka mengajaknya menemani anda keluar makan tengahari, malah anda rasa janggal jika tidak bersama dengannya. Oleh itu mulai hari ini eloklah anda belajar berdikari. Usahakan melakukan apa juga perkara tanpa bantuan teman terutama yang berlainan jenis. 


6. Tunjukkan Kekuatan Cinta

Melihat kehidupan anda suami isteri selalu berjauhan tidak mustahil ada yang cuba-cuba mendekati diri anda. Jika ini yang sedang berlaku maka anda harus menunjukkan betapa kuatnya cinta anda pada pasangan. Jangan pula anda berasa goyah bila ada yang menawarkan cinta.


7. Ingat Dosa

Mengenangkan kelebihan diri rakan sepejabat yang cuba meraih cinta anda, terdetik perasaan untuk menduakan pasangan anda. Tapi sebelum anda melakukannya ingatkanlah tentang dosa anda mengkhianati kasih sayang pasangan. Kenangkan apa pula yang anda rasai jika pasangan anda melakukan perkara tersebut.


8. Bertukar Kerja

Jika tidak ingin diganggu oleh kehadiran cinta yang tidak dikehendaki di pejabat, maka anda boleh menimbang keputusan untuk bertukar pekerjaan. Walaupun rasa sayang dengan karier yang anda bina di situ, namun fikirkan pula tentang kebaikan pada rumah tangga anda.


Sumber gambar: Google

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails