25 March 2017

Tips Agar Anak Mudah Terima Ibu Baru

Assalamualaikum...

Tiada yang ganjil jika ibu menjaga anak-anak selepas terjadinya perceraian. Bukan mustahil juga jika anak-anak diletakkan di bawah jagaan bapa kerana ada juga anak-anak yang memilih bapa daripada tinggal bersama ibu.

Jika anak di bawah jagaan bapa, tentu ramai yang berharap agar bapa berkahwin semula supaya ada yang boleh membantu menjaga anak-anak. Tapi bagaimana dengan tuan punya badan? Adakah anda sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga?

Untuk jatuh cinta kembali, ia bukan mudah. Biasanya rasa cinta kepada pasangan yang terlalu dalam membuatkan lelaki sukar mengungkapkan kata-kata cinta. Namun jika anda sudah menemui seseorang yang anda rasakan sesuai dengan diri, ada lagi halangan yang perlu anda tempuhi iaitu mendapatkan persetujuan dari anak-anak.

Sesetengah anak-anak khususnya yang sudah dewasa sukar menerima kehadiran orang baru dalam kehidupan mereka kerana beranggapan ada orang lain yang mahu merampas bapa mereka atau mereka enggan berkongsi kasih dengan wanita lain. Ikuti cara bagaimana harus memberitahu anak jika anda sudah menemui cinta baru dan berhasrat mahu mengahwini wanita itu.


Aturkan pertemuan secara spontan

Anda sedang melalui fasa-fasa kebahagiaan setelah menemui cinta baru. Anda berhasrat mahu mengahwininya secepat mungkin agar rasa bahagia itu terungkap melalui sebuah ikatan yang sah. Namun anda harus berhadapan dengan anak yang anda sendiri tidak pasti apa penerimaannya terhadap bakal ibu tiri mereka.

Apa kata aturkan satu pertemuan secara spontan. Ia bukan sahaja baik tetapi anda boleh bergurau dengan anak dengan mengatakan bahawa wanita di hadapannya adalah bakal ibu baru mereka. Anda juga mungkin boleh membawa gambar bakal ibu mereka dan tunjukkan kepada mereka. Nyatakan juga kebaikan-kebaikan wanita idaman anda ini. Yakinkan kepada anak-anak bahawa dia mampu menjaga mereka sebagaimana anda menjaga mereka selama ini.

Bersedia berkongsi perasaan anak

Dalam mendirikan rumah tangga, bukan sahaja perasaan pasangan yang perlu dijaga tetapi juga perasaan anak-anak kerana sudah tentu anda akan duduk serumah nanti. Jika anak memprotes, nyatakan mengapa anda harus berkahwin lagi, nyatakan juga bahawa itu bukan bermakna anda tidak lagi menyayangi mereka.

Mengungkapkan kata-kata sayang dan cinta kepada anak menunjukkan anda bukan mementingkan diri sendiri sebaliknya anda bapa yang baik. Jika anda berusaha meyakinkan mereka, tidak mustahil untuk anak bersetuju dengan pilihan anda.

Beri peluang untuk saling mengenali

Kanak-kanak biasanya sangat jujur dan mereka jarang menipu khususnya yang masih kecil. Kalau begitu, aturkan satu pertemuan khusus untuk anak-anak dan pasangan. Beri masa untuk anak-anak dan bakal ibu mereka mengenali satu sama lain, biarkan mereka bergurau senda sekaligus memulakan sebuah perhubungan. Jangan sesekali anda memaksa anak-anak menerima dengan segera. Lagi anda mendesak, ia akan hanya menyimpul dendam di hati anak-anak.

Siapkan mental dan fizikal anak

Jika anda merancang sesuatu dan takut ia gagal, mintalah bantuan daripada rakan-rakan yang sudah biasa dengan anak anda. Sekurang-kurangnya ia dapat menyelamatkan situasi jika anak tidak dapat menerima wanita yang anda hendak nikahi.

Biarkan rakan anda bercerita dahulu dan memperkenalkan kepada anak siapa bakal ibu mereka. Ceritakan bagaimana anda menyayangi dan betapa seronoknya mempunyai ayah dan ibu dalam sebuah rumah. Insya Allah, jika kena dengan caranya, anak-anak akan menerima pasangan anda.

Kekalkan tradisi keluarga

Sesetengah orang khususnya orang baru cuba mengubah tradisi yang sudah terbiasa dilakukan dalam keluarga. Nasihatkan kepada bakal isteri bahawa dia harus mengikut tradisi keluarga yang sudah diamalkan. Bertolak ansurlah dalam perkara ini meskipun kadangkala kita tidak menyukainya. Jika anda mampu mengikutinya, anda akan diterima sebagai sebahagian keluarga.

Minta izin anak

Sekalipun mereka hanya anak-anak kecil tetapi mereka mempunyai hati dan perasaan. Berkahwin lagi sebenarnya memberi impak kepada emosi anak dan seharusnya anda tidak mementingkan diri sahaja sekalipun anda seorang bapa kepada mereka. Jika anda berjaya menawan hati anak, bermakna hasrat anda untuk berkahwin lagi akan direstui.

Sumber: Majalah Mingguan Wanita


Sumber gambar: Google

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails