07 October 2013

Keputusan Isu Kalimah ALLAH

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah 'ALLAH'.

Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi memberitahu Bernama Jabatan Peguam Negara baru sahaja menerima surat daripada bahagian pendaftaran Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa keputusan kes itu ditetapkan pada 14 Oktober.

Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.

Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'ALLAH'.

Enam majlis agama Islam negeri iaitu Majlis Agama Islam Terengganu, Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan serta Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dibenar menjadi pencelah dalam kes itu.

Sementara itu, peguam Hanif Khatri Abdullah yang mewakili MACMA mengesahkan bahawa Mahkamah Rayuan sudah memaklumkan tarikh berkenaan kepada peguam Tajuddin Razak.

Pada 16 Februari, 2010, gereja itu memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'ALLAH' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'ALLAH' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Disember, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal.

Kerajaan kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan. - Bernama

Sumber: Sinar Harian


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails