29 July 2013

Dua Beradik Mangsa Mercun

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera parah di mata kanan dan paha, manakala kakaknya yang berusia tujuh tahun cedera dikedua belah tangan dan kaki selepas menjadi mangsa dua remaja yang sengaja membaling mercun bola ke arah mereka.

Kejadian berlaku di hadapan kediaman mereka iaitu di Kampung Gong Manok, Kuala Besut, Besut, pada 24 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, kedua-dua beradik itu sedang bermain basikal di hadapan rumah bersama dua lagi abang mereka.

“Bagaimanapun, ketika sedang asyik bermain, datang sebuah motosikal ditunggangi dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikenali ke arah mereka.

“Tanpa rasa bersalah, tiba-tiba salah seorang daripada mereka yang membonceng telah menyalakan mercun bola dan membalingnya ke arah empat beradik terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, mungkin dengan niat sekadar bergurau, perbuatan kedua-dua suspek itu bagaimanapun telah menyebabkan dua daripada empat beradik itu mengalami kecederaan akibat terkena percikan api mercun berkenaan.

“Akibatnya, mangsa pertama yang cedera parah di bahagian mata dan paha terpaksa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Namun, kedua-dua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, dua suspek terus melarikan diri sejurus insiden itu dan kini masih diburu. Bagaimanapun, identiti mereka berdua sudah dikesan dan yakin akan ditangkap dalam masa terdekat.

“Kedua-dua suspek masih bersekolah dan mereka merupakan jiran sekampung mangsa,” katanya.

Tidak puas hati dengan tragedi itu, ibu mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kejadian.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.


Sumber: Sinar Harian _ 29 Julai 2013

P/S: Aku tak tau la diaorang ni manusia ke apa....bulan2 puasa pun dok buat naya kat orang....kesian kat budak yang tak berdosa tu....kalau nak baling mercun pegi la baling kat tempat lain yang takde orang.....atau nak lagi best baling kat diri sendiri nak tau sedap ke tak....semoga dapat hukuman yang setimpal sebagai pengajaran....


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails