28 April 2011

Kenali Diri Tingkatkan Prestasi

Tiada sesiapa pun manusia di dunia ini dilahirkan sempurna sifatnya kerana Allah memang telah takdirkan akal manusia sebagai satu penciptaan yang hebat, tetapi tidak sempurna jika iman pada diri lemah. Allah menciptakan kita semua bersebab. Oleh itu janganlah biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia dan masalahnya.

RASA YAKIN DENGAN KELEBIHAN DIRI

Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing termasuk diri anda. Sebagai contoh, jika anda merasakan diri anda tidak mempunyai tubuh badan dan raut wajah yang cantik, jangan sesekali anda menyalahkan kuasa Allah kerana tidak menciptakan anda cantik seperti model dalam majalah.

Fikirkan kembali, kekurangan anda ada di situ tetapi pasti anda ada kelebihan lain yang tiada pada model tersebut, seperti anda berasa yakin untuk menonjolkan diri diri di depan khalayak. Tidak ramai yang mampu berbuat begitu kerana diselubungi perasaan malu dan kurang yakin dengan kemampuan diri

Kadang-kadang anda lihat mengapa mereka yang tidak begitu cantik tetapi mampu menghiasi ruang dalam majalah atau pun kaca televisyen? Bukan kerana kecantikan sahaja yang dilihat tetapi kebanyakan editor mahu pun para pengiklan ingin melihat keyakinan diri calon yang layak kerana anda akan kelihatan lebih menyerlah.

CARA UNTUK MENCIPTA RASA KEYAKINAN

- Ubah gaya pemikiran
Jangan terlalu memandang rendah pada diri anda kerana ia akan menjadi 'racun' hingga mampu menjatuhkan motivasi diri anda. Sebaliknya, puji diri anda sebanyak mungkin walaupun ia bukan sesuatu yang nyata kerana tindakan tersebut terbukti mampu melahirkan rasa yakin pada diri. Seterusnya anda tidak akan berasa malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

- Percayakan kemampuan diri
Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan masing-masing. Sesekali ciptakan suasana riang dengan berkata pada diri sendiri bahawa anda adalah satu dalam sejuta yang tiada sesiapa mempunyai sifat dan peribadi seperti kamu. Jika berkesan, anda akan berasa diri anda seorang yang hebat secara automatik.

- Manjakan diri
Walaupun tidak dapat menghiasi dada majalah atau pun televisyen, tetapi itu bukanlah kekecewaan yang anda perlu hadapi selamanya. Cukuplah sekadar berhias diri untuk diri sendiri atau paling tidak pun untuk rakan-rakan baik anda. Apa kata anda cuba memakai pembayang mata supaya mata anda nampak lebih galak atau pun mengenakan pemerah pipi untuk mencantikkan lagi bentuk pipi anda yang semulajadi itu.

- Sayangi diri
Setiap hari anda perlu memandang depan cermin dan berbual dengan diri sendiri kerana proses interpersonal itu perlu supaya anda akan lebih menyayangi diri anda sekaligus menerima diri anda seadanya. Berhentilah memuji kecantikan orang lain jika perkara itu boleh mendatangkan rasa cemburu dan hasad dengki kepada empunya diri yang tidak mempunyai kaitan dengan anda.

- Ubah pemakaian
Cara pemakaian individu dikatakan mampu mengubah personaliti seseorang. Jika selama ini anda hanya suka memakai pakaian berwarna hitam sahaja bagi menutup 'kekurangan diri' maka anda perlu cuba memulakan langkah baru dengan mengubah penampilan secara perlahan-lahan kerana dikhuatiri orang akan mengata jika perubahan itu secara mendadak. Mulakan hari anda dengan menyarungkan gaun dan tudung daripada warna yang cerah kerana ia mampu menjadikan wajah anda cantik berseri.

KESAN POSITIF PADA DIRI

Rasa yakin yang menebal pada diri mampu menjadikan hidup anda lebih sempurna tetapi pastikan anda tidak terlalu yakin hingga boleh menimbulkan riak. Seelok-eloknya berpada-padalah dengan perubahan yang anda lakukan.

- Orang ramai
Orang di sekeliling anda jarang mengenali mereka yang tidak pandai menonjolkan diri. Tidak perlu risau dengan rupa dan bentuk badan anda kerana jika anda pandai bergaya dan lebih yakin untuk berhadapan dengan mereka, secara automatik ia akan membuka peluang anda lebih dikenali.

- Sahabat dan rakan sekerja
Pastinya perubahan diri anda ini akan membawa kesan positif di mata rakan-rakan mahu pun ketua anda. Mereka akan lebih mempercayai kemampuan diri anda dengan cara penampilan diri dan sesi pembentangan yang sangat yakin, sekaligus mencipta kredibiliti untuk anda dipilih sebagai calon yang sesuai untuk mewakili syarikat atau pun kelas anda.

- Diri sendiri
Sentiasalah positif dengan diri sendiri kerana ia mampu memberi keyakinan yang tinggi untuk diri anda. Jika anda positif dalam setiap perkara yang anda lakukan dan dapat diatur dengan baik, nescaya semuanya akan berjalan dengan lancar. Kebahagiaan yang anda kecapi seandainya nilai-nilai positif ini sentiasa tersemat di dalam sanubari.


Sumber: Majalah Dara.com - edisi 107, Mei 2011.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails