16 January 2011

Makanan Terbaik Untuk Anak Anak

Anak-anak adalah amanah Allah yang perlu dijaga dan dibelai dengan sepenuh kasih sayang. Bukan sekadar tempat tinggal, keperluan yang baik diperlukan, pemakanan adalah satu faktor yang amat penting untuk mengukuhkan kesihatan, menampung pembesaran, dan memenuhi keperluan untuk melakukan aktiviti fizikal.

Kanak-kanak perlu makanan untuk membesar dan menjalani proses pembesaran yang sihat. Pemakanan yang sihat dan baik akan mempengaruhi pembentukan minda mereka, selain turut menyumbang kepada berlakunya kekurangan berat badan.

Antaranya lapan makanan terbaik dunia yang penuh dengan khasiat dan memberi kebaikan kepada tumbesaran anak-anak yang disebut dalam Al-Quran dan menjadi sunnah Rasulullah.

1. Delima
Buah delima adalah salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang kaya dengan unsur zat besi. Zat besi berperanan untuk proses pembinaan darah merah. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan penyakit anemia. Ia juga mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi di antara buah-buahan yang lain. Buah delima mengandungi potassium yang besar isipadunya, selain daripada mineral-mineral lain seperti fosfor, kalsium, besi, sodium, vitamin A, B1, B2, B3, dan C. Bertindak bersama sodium, potassium mengatur ekuilibrium air tubuh dan menjaga detak jantung agar tetap normal. Dengan memelihara keseimbangan kadar potassium-sodium, buah ini juga meningkatkan kepekaan saraf dan otot agar berfungsi secara teratur, mencegah edema, dan mengurangkan kadar gula di dalam darah. Buah delima juga dapat menghilangkan rasa letih otot dan menguatkan jantung.

2. Kurma
Kurma mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Rasulullah S.A.W. Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar "Ajwah" dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu." Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi dalam membentuk susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

3. Madu
Madu adalah makanan yang mengandungi aneka zat makanan seperti karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral, dekstrin, pigmen tumbuhan, komponen aromatik, dan antibiotik. Kandungan karbohidrat dalam madu adalah yang tertinggi di antara produk-produk ternak yang lain seperti susu, telur, daging, dan mentega. Madu adalah dua penawar yang disebut di dalam al-Quran dan Hadith. Firman Allah: "Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia." Surah An-Nahl ayat 68-69.

4. Za'faran / Saffron
Dalam kitab Tibbul Imama A'li, Saiyidina Ali menyatakan: "Sesiapa yang mengambil sebahagian Za'faran tulen dan Su'dun satu bahagian dicampurkan dengan 'Asal (madu) diminum sebanyak dua sudu setiap hari, maka dia dikagumi tentang ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir." Za'faran sangat kaya dengan vitamin B1 dan B2 (Riboflavin & Tiamin) dan dapat membantu menyempurnakan proses penghadaman, menguatkan ingatan, merawat anemia, mengawal tekanan darah dan kolesterol, mengurangkan risiko serangan sakit jantung, mengurangkan keletihan, sembelit, bisa-bisa sendi, penenang, dan juga peransang tenaga batin. Pengambilan secara tetap minuman ini pada setiap hari akan membolehkan tubuh untuk membina daya ketahanan menghadapi pelbagai penyakit seperti asma dan demam biasa. 

5. Buah Tin
Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jawziyyah, buah tin memiliki banyak khasiat antaranya dapat mengurangkan penyakit sesak nafas, membersihkan hati dan limpa, menghilangkan kahak yang berkumpul serta memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan dan sebagai satu langkah pencegahan untuk melawan racun di dalam badan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, "Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, inilah buahnya (tin), sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya." Selain itu, ia juga dikenali sebagai bahan pelancar (laxative), penahan sakit, dan unsur perkumuhan air kencing (diuretik). Buah tin tidak mengandungi garam, lemak, dan juga kolesterol tetapi ia mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat, dan zat besi.

6. Habbatus Sauda'
Habbatus Sauda' mempunyai esktrak yang dijadikan sebagai terapi untuk mengaktifkan enzim adenylylclase yang bertanggungjawab terhadap perubahan spesifik dalam peringkar-peringkat usia. Ia mempunyai 1001 kebaikan seperti sabda Rasulullah: "Tetaplah kamu dengan Habbatus Sauda' kerana padanya terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali As-Salam (mati)." Hadith Riwayat Bukhari Muslim.

7. Minyak Zaitun
Minyak zaitun bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati." Minyak zaitun juga mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah.

8. Kismis
Kismis dapat menguatkan jantung, menghilangkan penyakit, menghilangkan panas, dan memulihkan kesihatan jiwa. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian." Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (hempedu / cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf, dan menghilangkan letih. Kismis juga dapat meningkatkan keupayaan untuk menghafal.

Sumber: Majalah Nur

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails