06 January 2011

8 Tip Keusahawanan

1) Bisnes Sendiri
Ramai yang menyimpan hasrat untuk melakukan bisnes sendiri dan rata-rata daripadanya ingin bermula secara kecil-kecilan. Namun impian itu berkubur begitu sahaja. Impian hanya tinggal kenangan. Alasannya, bagaimana hendak memulakannya? Mungkin ini disebabkan semangat tidak begitu kuat untuk memulakannya. Tapi bila semangat itu akan tiba? Jadi, bertindaklah sekarang!

2) Minat
Tentukan minat dan kepakaran. Tanya pada diri sendiri, apakah kecenderungan minat dan kepakaran yang anda miliki? Apabila sudah mengenal pasti, sesuaikan pula dengan kehendak pasaran dan juga permintaan. Sebagai contoh jika anda suka membeli secara online, anda boleh menukar minat itu kepada peluang yang boleh menjana pendapatan.

3) Sumber Modal
Ramai usahawan yang memberi nasihat agar tidak melakukan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan. Sebaik-baiknya cuba simpan modal bagi memulakan perniagaan anda. Anda boleh memulakan bisnes kecil-kecilan misalnya hanya dengan RM1000. Yang penting mulakan dengan apa yang anda ada. Lama-kelamaan angka itu akan bertambah.

4) Buat Penyelidikan Sempurna
Selagi tidak membuat penyelidikan, anda tidak boleh memulakannya kerana anda sendiri tidak pasti tentang permintaan pasaran, selok belok bisnes tersebut dan sebagainya. Jadi, pastikan anda mengkaji terlebih dahulu. Apabila sudah benar-benar pasti, nekad buat keputusan dan bertindak tanpa rasa ragu-ragu lagi.

5) Sasaran Yang Tepat
Apabila anda sudah mendapat gambaran yang jelas tentang bisnes yang bakal anda jalankan dan sasaran yang ingin dicapai, ia akan membantu anda untuk melaksanakannya langkah demi langkah. Minda anda sudah pun tahu apa langkah permulaan dan langkah seterusnya yang perlu dilakukan. Mental dan fizikal sama-sama bekerja ke arah matlamat dan sasaran.

6) Realistik
Setiap bisnes yang anda lakukan perlukan matlamat yang jelas, realistik iaitu perkara yang boleh anda capai dan lakukan. Sebagai contoh, agak mustahil jika anda meletakkan sasaran RM500,000 perlu dicapai dalam tempoh 6 bulan (jika bisnes kecil-kecilan). Jika anda sememangnya buta IT (tidak tahu langsung tentang perkembangan berkaitan), sudah tentu agak sukar untuk anda memulakan bisnes secara online.

7) Sentiasa Bersedia
Halangan dan cabaran dalam apa jua perkara yang dilakukan pasti ada. Jadi kita tidak boleh terlepas daripadanya. Cuma bentuk cabaran dan cara kita berdepan yang membezakannya. Bisnes sendiri juga ada halangan walaupun ia dilakukan dari rumah misalnya gangguan menguruskan masa, disiplin dan sebagainya. Untuk sukses kita tidak boleh patah semangat.

8) Kenal Siapa Pelanggan
Anda pasti mengenal pasti siapa yang akan membeli produk anda. Jika tidak tahu siapa pembeli, bagaimana hendak menjual? Jadi anda perlu merangka strategi untuk memasarkan produk anda kepada sasaran yang betul.


Sumber: Buku Jana RM Dari Rumah tulisan Masayu Ahmad, terbitan Oasis


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails